Aku VS Aku

Lama aku termenung sejak kebelakangan ni. Sambil lepak dengan member, berkepul asap vape dia hembus. Termanggu sekejap kena panah lamunan. Member aku hembus lagi asap vape dia. Tersembur bau Cheesecake dari asap tu. Baik la sikit dari asap rokok. Tempat open air macam ni, tinggal kami dua orang je semeja. Tokey kedai dah bukak meja sebelah, wicking sikit sambil adjust coiling tank dia. Hembus jugak asap berkepul macam asap fogging nyamuk.

"Kenak pok? Da masalah ka? Dari tadik ku nagga ko mengelamun jak tok." Member aku tegur. Bahasa Sarawak dik. Bukan typo. Maksud dia Kau dah kenapa? Ada masalah ke? Dari tadi aku tengok kau termenung. Aku tersedar dari lamunan mimpi mata terbuka aku. Terngiang lagu lamunan terhenti sekejap sebagai background. Aku bagitau tak fikir apa. Cuma termenung kosong. Haaa! Korang jangan tak tau. Lelaki ni mampu termenung tanpa berfikir apa-apa. Kosong sejati.

Lepas aku graduate dari Universiti, aku dah lama fikir. Nak buat apa lepas ni. Cari kerja, kawen dan mati. Aduh, singkat benar hidup ni. Aku teringat kat blog ni yang dah lama aku tinggal. Seraya aku cakap kat member, "Aku rasa nak kembali menulis lah. Aku rasa lah..." Member aku ni memang tau aku dari dulu suka nak menulis. Wei, zaman blm ada instafamous dulu, blogger la jadi artis internet wei. Aku dulu tak famous la. Cuma rajin menulis dalam blog. Meluah apa yang aku fikir pada kadar otak aku masa tu. Bila teringat pasal blog tu, aku tanya balik, apa khabar gamak nya blog aku sekarang. Kalau dia seorang manusia, mungkin sudah penuh berbulu. Kalau sebuah kerusi, mungkin sudah bersarang tebuan. Bukan lagi sarang labah-labah.

Balik rumah aku bukak blog ni balik. Eh, ada jugak orang visit blog ni sepanjang aku tak update. Korang baca apa je dalam ni? Zaman aku update ni, aku ingat lagi yang aku masih budak. Entah level mana aku fikir masa tu. Aku bukak balik posting-posting lama. Terkesima kejap aku baca. Boleh tahan jugak aku menulis masa tu. Mungkin sebab zaman tu aku minat membaca. Susun ayat aku agak cantik. Bukan nak puji diri, tapi aku agak kagum dengan aku yang dulu. Kalau nak ikut gaya penulisan aku yang sekarang, aku rasa aku yang dulu lebih mantap menulis.

Nahunya manusia harus lebih baik dari semalam. Esok mesti lebih baik dari hari ini. Tapi apa dah jadi dengan aku sekarang? Aku tutup laptop dan termenung lagi. Kali ni aku tak termenung kosong, aku fikir apa yang menjadikan kosa kata aku semakin kurang. Gaya penulisan dan tatabahasa semakin lebah. Apa kerana aku di kampus semua subjek teknikal dan dalam bahasa inggeris? Oh ya, aku pelajar jurusan kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering). Tapi minat terhadap bahasa melayu aku agak tinggi. Mungkin kerana ibu dan ayah aku guru bahasa melayu. Mungkin.

Hampir seminggu aku terganggu dengan ilusi aku yang lama. Cuba aku hadamkan apa yang tak kena. Aku mula ingat kembali apa yang aku minat masa dulu dan sedaya upaya kembali hidup seperti dulu. Kurangkan sosial media. Itu yang pertama. Secara umumnya, kita buka facebook, instagram dan twitter 20 kali sehari. Itu minimum. Menurut Zach King, penduduk US buka media sosial 20 kali dalam masa 1 jam. Mungkin itu penyebabnya. Cuba aku gali lagi apa yang kurang.

Arakian, suatu pagi aku meneguk secawan nescafe panas dengan roti bakar di ruang dapur. Mana aku terpana sekejap pada rak buku yang penuh dengan buku aku dulu. Wah, rupanya aku dulu kuat membaca. Aku gapai sebuah buku bertajuk "Sejarah Jepun Moden. Buku inggeris yang diterjemah ke dalam bahasa melayu. Buku terjemahan bahasanya agak baku sedikit berbanding buku tulisan idea penulis sendiri. Bahasanya kurang puitis tapi penuh linggusitik. Seingat aku, aku baca buku ni dahulu semasa di tingkatan dua. Sekitar usia 16 tahun.

Aku cabar diri aku sekarang untu habiskan buku itu. Ya Allah..bosannya...macam mana aku nak khatamkan buku yang maha bosan ni. Mungkin terlalu susah. Aku gapai buku lain. Ah, ada buku HAMKA. Ini bukan buku lama ni. Mungkin buku ayah aku beli beberapa tahun lepas. Aku selak dan cuba mula membaca. Baiklah, ini nampak santai sedikit. Dalam masa tiga hari aku habiskan buku bertajuk "Permata yang hlang kini dijumpai", tulisan HAMKA. Pemilik website kereta mayat.

Aku mula perasan banyak yang tak kena dengan aku. Kalau di media sosial, kita terbaca satu artikel atau tulisan status seseorang, tak kira kalau ianya berbentuk ilmiah atau santai, aku suka nak lihat komen orang tentang bahan bacaan tersebut. Buku tidak. Kau kena baca bagi habis dan buat perbandingan dalam diri. Hanya kau dan penulis.

Lagi satu, buku susah untuk kau cari perbezaan pendapat. Ada dua sebab utama. Satu nya, penulis adalah seorang. Aku maksudkan buku yang ditulis oleh seorang penulis sahaja. Bukan buku kompilasi atau himpunan. Sebab kedua, orang yang menulis buku bukan orang yang hangat satu hari. Maksudnya, seperti pelari maraton. Dia pakar untuk larian jarak jauh. Masakan dia mampu menulis buku setebal beratus mukasurat kalau dia tak punya ilmu yang cukup? Kalau separuh jalan ilmu nya, nak tulis apa dalam sebuah buku? Atau mungkin buku nya cuma ada 5 helai mukasurat.

Aku mula minat kembali membaca. Aku buka balik buku yang lama dan baca balik apa yang baca dahulu. Amat seronok. Mungkin inilah yang hilang dari aku yang dulu. Amalan membaca. Bahan bacaan aku semasa di kampus lain. Benda teknikal dan banyak mengira. Mungkin otak kiri yang banyak bekerja. Otak kanan banyak berehat.

Baiklah, untuk perenggan kali ini aku akan gunakan ayat media sosial. Anda bandinglah sendiri standard yang digunakan. Perenggan di atas masih lagi aku ketegorikan bahasa melayu pasar. Tidak putis tapi santai. Kali ni aku gunakan bahasa media sosial untuk ceritakan isi seterusnya.



Nowadays aku rasa media sosial ni dah macam life. Semua nak showoff kat media sosial. Kemon la wei, sekarang dah maju. Instafamous dah boleh dapat berpuluh riban kot dari paid review. Orang nak sembang apa tu lantak lah. Janji dia dapat duit. sebenarnya orang ramai burthurt. Panas bontot, dengki dengan orang kaya muda. Tak caya, bukak motif viral. Yang ramai masuk rancangan tu mostly orang muda-muda. Sekarang ni orang guna the power of viral. Kau viral, kau kaya.

Lagi satu, hidup tak main konda kondi, tak sepak bola, tak timang bola takraw atau main polis penjahat pun takda hal. Janji ada line internet, aku boleh bertahan scroll timeline berjam jam. Nak jadi ustaz ustazah pun boleh. Bukak je youtube, dengar ceramah agama. Kalau pishang sangat, buat je fb live or insta live. Ada la orang sembang dengan aku nanti. Semua ni buat dalam rumah je. Apadahal.



Maaf, aku tak mampu nak teruskan penulisan begitu. Mungkin itu bukan cara aku. Yang aku risaukan adalah generasi baru. Perjuangkan hak dan tulisan melayu. Bila disuruh belajar bahasa inggeris, katanya ini tanah melayu. Buat apa nak belajar bahasa penjajah. Aku tegaskan aku tidak bersetuju. Alangkah bagusnya kalau mampu bercakap pelbagai bahasa? Aku sendiri bukan bagus dalam bahasa inggeris. Tapi aku tak putus asa. Aku beli buku inggeris dan terjemahkan. Aku cuba bercakap dengan kawan dalam bahasa inggeris walaupun bunyi macam orang jepun cakap inggeris. Masalahnya, bukan tak mahu belajar bahasa lain, tapi bahasa sendiri pun tak dipelihara. Kata nak perjuangkan bahasa melayu, tapi cakap melayu pun masih tunggang langgang. Yang aku dengar banyak mencarut.

Berbalik kepada tajuk, aku rasa tidak salah untuk aku kembali menulis. Aku bukan penulis hebat, tapi harapan aku untuk diri sendiri. Tak ada cara lain untuk aku kekalkan minat selain di pentas blog ini. Nak hasilkan buku sekarang mungkin tak ada siapa nak baca dah. Sedangkan penulis ternama pun buku tak terjual, inikan pula penulis picisan.

Kalau kau punya rupa dan boleh menyanyi sedikit, mungkin kau boleh cari makan dalam dunia sekarang. Tapi tidak untuk para ilmuan. Nanti aku biacarakan lebih lanjut tentang isu ini. Sekata ini, akhir kalam aku tutup coretan kali ini.

Comments