Kisah 24 Jam (Part 1)

Pagi itu hening seumpama hati bayi yang bening. Hembus angin pagi yang tenang dengan gemersik kicauan burung. Wah, indah benar suasana pagi subuh ini. Ruginya anak muda sekarang tak mampu melihat suasana yang indah ini. Aku tak sapu rata semua, tapi kebanyakan yang aku kenal begitu lah. Suasana subuh memang indah. Terbit matahari ini setiap hari. Tapi sayang, tak ramai yang mampu melihatnya. Nanti aku caerita pula bagaimana terbenamnya matahari.

Teringat aku zaman kecil dulu. Waktu subuh beginilah aku dikejutkan. Bersiap mandi dengan mata kelat dan berat. Air sejuk menusuk sampai tulang. Tak hilang lagi kelat mata sampai angkat takbir pertama. Solat subuh berjemaah beserta ibu dan ayah. Anda begitu juga? Ya, kita membesar di zaman yang sama. Masa itu tidak ada lagi telefon di sebelah bantal. Yang ada surah yasin atau senaskah Al-Quran. Jadi jaga supaya tak mengingau waktu malam. Sebelu tidur dibaca selembar Al-Quran supaya lena tidurnya. Dikucup muka depan dan dilimpang sebelah bantal. Terpulang lah kalau siapa kata tak wajar, tapi seingat aku jauh lebih baik dari kucupan sayang buat kekasih tak rasmi, bacaan syair puisi menusuk naluri buat sang bakal isteri yang belum pasti kini. Tajam..ya, tapi telankan saja.



Sejujurnya aku rindu zaman kanak-kanak. Masa dua puluh empat jam aku penuh dengan aktiviti. Mata tak tutup selagi tak malam. Tiada istilah tidur petang. Penuh jadual dengan aktiviti harian. Usai solat, sarapan tak pernah tinggal. Tenaga kena ada seawal pagi sekurang-kurangnya sampai tengah hari. Nanti petang ada KAFA. Nak hadam ilmu gama. Sekurang-kurangnya mampu baca Al-Quran walau juzuk 30 atau surah lazim. Lepas KAFA berebut nak balik. Balik lewat nanti kurang masa bermain. Lepas asar memang bola sepak dah sedia. Tak ada but tak apa, kaki ayam pun jadilah.

Di padang tiada istilah bangsa atau kasta. Kau nak main, jom turut serta. Anak iban dan anak cina sekali rembat bola berebut nak skor melolos tiang gol. Kadang-kadang berebut semua nak jadi striker. Tak ada yang nak jadi keeper. Keputusannya, siapa badan gempal, dia keeper. Alasan nya lari lambat. Tak dapat kejar bola. Jadi lah kepeer sementara. Sebelum ada yang kasihan utuk gantikan posisi tersebut. Akhirnya, semua jadi kepeer. Tapi bergilir gilir. Mungkin sebab dah penat kejar bola. Tunggu sahajalah bola datang dengan jadi penjaga gol.

Hari sudah petang...siapa ada jam akan bagitahu dah masuk pukul 6. Semua kena balik sebelum bapak sedia depan pintu dengan tali pinggan atau penyangkut baju. Kalau ayah minat bertukang, mungkin dapat paip PVC atau hos air. Kalau bapa yang minat berkebun, dapatlah rotan pelbagai size. Pendek cerita, usai mandi dan solat maghrib, makan satu keluarga semeja. Sampai berebut lauk. Adik nak kepak ayam, kakak nak dada ayam, si abang nak peha ayam. Sampai mak dengan ayah dapat kuah ayam sahaja. Makan tak habis, mak dengan ayah marah. Kena habiskan. Nak bagi siapa makan sisa? Syaitan suka. Ah, tak nak! Tak suka kawan dengan syaitan. Nanti dia masuk mimpi. Fikir ku waktu itu. Dah kenyang pun makan juga. Siapa suruh ambil makanan banyak-banyak. Habiskanlah!


Selesai isyak, television jadi milik mak dan ayah. Nak tengok berita. Oh ya, sebelum berita adik beradik dulu tengok TV. Mak dengan ayah cuci pinggan dekat dapur. Nanti sampai pukul 8 kena tengok berita. Pukul 7.30 sampai pukul 8 layan dulu doraemon atau anak-anak sidek. Lepas habis, mak suruh siapkan kerja sekolah. Kerja sekolah tak siap, tak boleh minum susu. Nak atau tak, kena siapkan juga. Mungkin aku jenis agak bendul masa itu. Maksud siapkan kerja sekolah itu adalah siap dengan jawapan yang betul. Bertungkus lumus aku cari jawapan yang betul. Salah sikit di mata aku, aku padam buat baru. Mungkin sebab itu lah aku yang paling lambat siap dalam kalangan adik beradik. Ah, tak aci! Kakak siap dulu! Cikgu kakak malas, tak bagi banyak kerja rumah! Bentak ku dalam hati. Kakak di bagi minum madu sesudu sebelum tidur. Bagitulah kami adik beradik. Sebelum tidur, kena minum adu dulu. Esok pagi sebelum ke sekolah, kena minum madu jugak sesudu.

Aku tersedar dari lamunan. Ah, sudah pukul 7 rupanya. Di Sarawak, pukul 7 seperti pukul 8 di semenanjung. Cahaya matahari dah tinggi. Aku bergegas turun kerja. Tak mengapa, di sini sempat lagi nak sampai ofis pukul 8 kalau turun pukul 7. Malah sempat sangat nak pekena kopi dulu di bawah ofis sebelum punch card pukul 8. Tak ada kesesakan lalu lintas sangat. Kalau ada pun mungkin sebab jalan ditutup atau ribut.

Nanti aku sambung...kenapa aku rindu zaman dahulu...tak mengenang, cuma teringat.

Comments