Kadang kala diri mengeluh
susahnya hidup. Tiada siapa yang menjamin hidup ini senang. Hatta orang yang
punya harta segunung pun merungut sukarnya punya harta. Orang yang punya masa
yang banyak pun mengeluh bosan. Lumrah manusia itu dilahirkan untuk beribadah.
Mencari redha Allah SWT dlam cara yang pelbagai. Manusia itu punya atribut
berbeza. Adik beradik yang berkongsi DNA yang sama juga acapkali berbeza
pendapat. Apa lagi suami isteri dan rakan sekerja. Berbeza pndapat, bergaduh
dan bertikam lidah itu normal. Yang tidak normalnya bila menjadikan isu kecil
kepada besar. Dari bara menjadi kebakaran. Manusia diberi keistimewaan akal yang
tidak ada pada makhluk lain. Kerana akal itu manusia diangkat lebih tinggi
berbanding malaikat. Kearana nafsu itu manusia darjatnya lebih rendah dari
binatang. Kerana itu akal perlu sihat untuk menimbang tara fasa kehidupan
dengan cara yang matang.
Kembali
kepada persoalan pokok tentang sukarnya hidup. Sebermula kecil kita diberi
ujian sesuai dengan kapasiti kita. Tidak ada manusia yang Allah kurniakan ujian
melebihi batas kemampuan mereka. Allah itu maha tahu. Allah kenal kita siapa.
Maka ujian selayaknya untuk kita. Para sahabat dan anbiya’ dikurniakan darjat
yang tinggi bukan secara kosong, tetapi disusuli dengan ujian yang maha berat.
Begitu juga dengan kita pada saat ini. Bila disingkap ujian orang yang berjaya,
mereka tidak berada di atas dengan jalan
yang dihampar permaidani. Mereka malah bermula mungkin berbusana minima. Keterdesakan
lampau mereka tiada siapa peduli. Jerih pedih bermula kosong menjadikan mereka
kuat dan tegap menembusi siratan susah dihadapan mereka. Ada yang dibuang
keluarga, dimusuhi teman, dibuang kerja dan mungkin diancam bunuh beberapa kali
sebelum berjaya. Tatkala sudah berjaya, berada di puncak menggenggam jaya,
ramai mula mengaku kenal. Yang sudah lama diam mula menuntut saudara.
Masing-masing merebut rapat, menebus bahagian.
Perkara
sebegini sudah kerap benar berlaku dan akan kekal sehigga bila-bila. Sifat
manusia itu berbolak balik hatinya. Sungguh ramai yang hatinya mampu dibeli
dunia. Saat genting itu tiba dalam keadaan manusia itu dihimpit keterdesakan.
Ramai yang tersungkur antara waras dan tidak pada saat sebegini. Yang mana
masih waras, akan terselamat dan yag memilih untuk berserah diri, akan
tersungkur teruk. Ingatlah, dunia tak selamanya hujan. Langit tak mendung
berpanjangan. Ada saatnya kelak akan timbul mentari dan pelangi.
Comments
Post a Comment